ELAK MENGONGKONG ANAK, TETAPI PIMPIN MEREKA MEMBUAT KEPUTUSAN SENDIRI

1. Apakah makna “over-protective parents”?
Mereka ini ialah ibu bapa yang mahu melindungi anak daripada bahaya, kecederaan, kesakitan, pengalaman buruk, kegagalan dan seumpamanya.
Oleh itu, ibu bapa sebegini saya boleh kategorikan kepada 2:
a) Ibu bapa yang terlalu berprasangka dengan alam atau masyarakat sehingga mewujudkan rasa takut melampau dalam diri. Anak dikawal sepenuhnya agar sentiasa dalam keadaan selamat. Contoh, anak tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti lasak kerana bimbang keselamatan mereka.
b) Ibu bapa yang mahu anak mengikut kehendak atau acuan ditetapkan tanpa mengira kemampuan dan potensi anak mereka. Contoh, anak perlu berlatih bermain badminton kerana mahu anak mewakili sekolah dalam acara berkenaan.
2. Mengapa ibu bapa ini berbuat demikian?
Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari mereka tergolong dalam kategori “over-protective parents”. Apa yang mereka lakukan itu atas dasar tanggungjawab. Situasi hari ini sememangnya merisaukan ibu bapa terutama berkaitan keselamatan anak.
Bagaimanapun sebilangan ibu bapa yang terlalu mengongkong segala pergerakan anak sehingga membuatkan anak kurang selesa. Saya sendiri pernah bertanya kepada anak sulung saya, “Apakah perkara yang tidak disukai?”
Jawapan anak ringkas saja, “Saya tidak suka dikongkong.”
Saya dapati anak perlukan ruang, masa dan kehidupan sendiri tanpa dibatasi kehendak ibu bapa. Pun begitu, ibu bapa tidak boleh terlalu bebas memberi ruang tersebut. Kita perlukan kaedah atau strategi untuk memantau kehidupan anak-anak.
Antara kaedah yang boleh dikongsi ialah kaedah “pacing” dan “leading”. Kaedah ini berguna terutama untuk menawan hati orang yang berlainan bentuk sistem kepercayaan.
3. Bagaimana kita mempraktikkan kaedah itu?
Situasi : Anak leka bermain gajet.
Tindakan “pacing”: Kita dekati dan bersama-sama melihat gajet tersebut. Jangan ambil terlalu lama. Bertanya dan berikan pendapat mengenai apa yang dilakukan anak.
Tindakan “leading”: Beritahu gajet itu hanya alat ciptaan manusia untuk memudahkan urusan kehidupan. Kalau kita terlalu asyik dengan gajet tanpa pedulikan urusan lain, maka kita lebih lemah berbanding gajet. Maka, pergunakan masa dengan bijaksana dan tidak menjadi hamba gajet.
Kaedah ini lebih baik berbanding merampas gajet dan memberi arahan keras. Apa yang kita mahu ialah perubahan sikap dan mereka menghormati kita sebagai ibu bapa.
4. Kesan apabila ibu bapa terlalu melindungi anak?
Kesan kepada anak: Dunia umpama penjara bagi mereka. Tindakan atau pergerakan yang dikawal ketat ibu bapa membuatkan anak kurang mampu bersaing dalam kehidupan sebenar mereka. Mereka hilang keyakinan diri. Bagaimana anak ini hidup berdikari dan yakin dengan diri sendiri jika segala keputusan di tangan ibu bapa. Secara fitrahnya, anak ini bersifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baharu. Sekiranya dihalang, ia akan menyebabkan anak mengalami gangguan emosi, fizikal dan pemikiran mereka.
Kesan kepada ibu bapa: Sentiasa berada dalam keadaan risau. Risau tanpa usul periksa ini sesuatu yang kurang baik dan mampu menjejaskan aktiviti seharian. Hilang rasa percaya kepada anak. Ibu bapa akan sentiasa membuat keputusan terhadap anak mereka.
5. Sesetengah ibu bapa menjadi sangat obses sehingga tidak membenarkan guru sekalipun menegur atau memukul (hukum) anak. Pandangan anda?
Ibu bapa harus faham peranan guru di sekolah. Ia bukan sesuatu yang mudah dan perlukan sokongan semua pihak terutama ibu bapa.
Saya pernah berdepan dengan situasi ibu bapa membuat laporan polis terhadap seorang guru yang menghukum anak mereka. Namun isu ini dapat diselesaikan secara baik dan harmoni. Apa yang penting ialah komunikasi 2 hala yang baik.
Saya masih ingat sewaktu kecil, ayah saya akan menggantung rotan di dinding rumah. Namun, beliau jarang menggunakannya. Ia sekadar simbol agar kami tidak melakukan sesuatu yang dilarangnya.
Begitu juga guru di sekolah, mereka diberi penerangan had sesuatu hukuman yang boleh dikenakan kepada murid. Sebarang kecederaan fizikal tidak dibenarkan sama sekali.
Maka, sebarang teguran atau hukuman terhadap murid dibatasi peraturan. Pihak sekolah dan ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dan memastikan sebarang isu berkaitan dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan murid.
6. Apakah sikap yang dibawa pelajar ini di sekolah? Hubungan dengan guru dan pelajar lain?
Antara sikap yang boleh dibawa ke sekolah oleh anak yang terlalu dilindungi ialah:
a) Tidak mampu untuk membuat keputusan sendiri.
b) Sentiasa dalam keadaan bimbang dan murung.
c) Gagal mempelajari sesuatu kemahiran dengan baik.
d) Kurang matang dalam pergaulan.
Pelajar ini sukar untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling termasuk guru mereka.
7. Siapakah anak ini (yang terlalu dilindungi) pada masa akan datang, katakan pada usia 30-an setelah mendirikan keluarga sendiri?
Anak ini membesar dengan sistem kepercayaan diri yang rendah. Ini sudah tentu membuatkan mereka hidup dalam keadaan sukar terutama apabila berjauhan dengan ibu bapa mereka.
Apabila mereka pula menjadi ibu bapa, secara tidak sedar mereka juga akan mengambil sikap sebagaimana mereka dibesarkan. Ia sesuatu yang menakutkan apabila lahirnya generasi yang sukar untuk berdiri dengan kaki sendiri.

Comments

Popular Posts